Melawat tempat bersejarah di Bandar Hilir, Melaka, memberi peluang
untuk kita menikmati keindahan warisan dunia melalui darat, air dan udara.
Bermula dengan mengunjungi bangunan yang sinonim dengan
Melaka iaitu Stadthuys atau lebih dikenali dengan nama Bangunan Merah. Ianya
tetap tersergam indah meskipun telah berusia lebih 300 tahun.
Sekeliling bangunan tersebut penuh dengan tinggalan sejarah
oleh penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Lihat sahaja di kiri dan kanan,
pastinya akan kelihatan binaan bercirikan seni bina negara penjajah itu.
Dengan hanya berjalan kaki, kita boleh mendaki ke Bukit St.
Paul bagi melihat tinggalan Portugis di situ. Memang benar seperti yang
diceritakan dalam sejarah, Bukit St. Paul merupakan lokasi paling strategik
kerana kedudukannya menghadap Laut Selat Melaka.
Dengan jelas kita boleh melihat Selat Melaka yang dahulunya sibuk
dengan pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Runtuhan Gereja St. Paul begitu
dipelihara dengan baik dengan batu-bata yang disusun membentuk dinding boleh
dilihat, dipegang dan diamati teksturnya.
A’ Famosa begitu ikonik hinggakan ada yang mengatakan tidak
sah berkunjung ke Melaka jika tidak bergambar di situ. Baik kanak-kanak, dewasa
hinggalah warga emas, semuanya mencari sudut sesuai untuk mendapatkan gambar
terbaik sebagai tanda menjejakkan kaki ke kota termasyhur dalam sejarah itu.
Selesai melihat tinggalan Portugis dan Belanda, kita boleh
terus menuju ke satu lagi tempat tarikan pelancong iaitu Menara Taming Sari. Diri
menara Taming Sari kita boleh merasai sendiri pengalaman eksplorasi Tapak
Warisan Dunia dari udara.
Berada 80 meter tinggi di angkasa, Menara Taming Sari
menjanjikan pemandangan Bandaraya Melaka yang mempersonakan. Sekali lagi Selat
Melaka mengimbau memori keunggulan zaman Kesultanan Melayu Melaka, terasa
bangga kerana suatu masa dahulu bangsa Melayu begitu agung hinggakan menjadi
rebutan kuasa-kuasa asing.
Menara Taming Sari berputar 360 darjah sekaligus memberi
peluang kepada pelancong melihat keseluruhan Bandaraya Melaka seperti Bukit St.
Paul, Muzium Maritim, Sungai Melaka serta pusat membeli-belah dan kawasan
sekitarnya.
Meskipun hanya tujuh minit Menara Taming Sari berputar pada
ketinggian 80 meter, ianya cukup memberi kepuasan kepada semua peringkat umur.
Kadar bayaran sebanyak RM 20 untuk warga antarabangsa ataupun RM15.00 bagi warganegara tempatan amat berbaloi jika
dibandingkan dengan nilai keindahan dan pengalaman menaiki menara tersebut.
Kita juga boleh menghayati Sejarah Melaka melalui jalan air.
Sungai Melaka yang tidak ditelan arus pemodenan menyediakan segalanya untuk
semua. Melaka River Cruise menjadi satu lagi kewajipan bagi pelancong yang
berkunjung ke sini.
Ia boleh dinaiki dari jeti utama di Taman Rempah ataupun di
Dataran Sungai Melaka bersebelahan dengan Muzium Kapal Flor De la Mar.
Menerokai warisan sejarah dengan bot Sungai Melaka amat
mengasyikkan. Perjalanan selama 45 minit menyusuri sungai sepanjang lapan
kilometer sememangnya tidak patut dilepaskan.
Projek pemuliharaan sungai dan penambahbaikan laluan pejalan
kaki juga memberi nafas baru kepada aktiviti pelancongan di situ. Kampung
Morten yang indah, jambatan bersejarah dan kafe di pinggir Sungai Melaka amat
mengujakan.
Turut menjadi tarikan, mural berwarna-warni menghiasi
bangunan di sepanjang laluan.
Tempoh 45 minit bagaikan tidak cukup untuk menikmati
keindahan. Namun begitu, kepulangan bot dinaiki penulis ke Dataran Sungai
Melaka menandakan lengkaplah sudah eksplorasi Tapak Warisan Dunia melalui
darat, air dan udara.
Peluang sebegini memang menarik untuk diceritakan kepada
teman-teman. Percayalah, status
Bandaraya Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia bertepatan dan wajar dipelihara.
Post a Comment